NELAYAN warga Indonesia dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen, semalam.

Seramai 18 nelayan warga Indonesia, termasuk tiga tekong daripada tiga bot nelayan didenda RM750,000 atau penjara 126 bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam selepas mengaku bersalah menangkap ikan di perairan negara ini tanpa kebenaran, pada awal September lalu.

Daripada jumlah denda itu, tiga tekong yang dikenali sebagai Roman Shah, 30, Ali Asrial, 42, dan R Ali Imran, 64, didenda RM100,000 setiap seorang atau setahun penjara jika gagal membayar denda.

Hakim Ahmad Sazali Omar turut mengenakan denda RM30,000 atau penjara enam bulan setiap seorang terhadap 15 lagi awak-awak daripada tiga bot berkenaan.

Semua 18 nelayan yang berusia antara 17 hingga 64 tahun didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a), Akta Perikanan 1985 yang dibaca bersama Seksyen 24 (1), akta sama serta boleh dihukum mengikut Seksyen 25, kerana menangkap ikan dalam kawasan perairan negara ini tanpa kebenaran sah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Jabatan Perdana Menteri Syazana Abd Lajis.

Mengikut fakta kes, ketika sepasukan penguat kuasa APMM menjalankan rondaan di perairan Pulau Undan, mereka berjaya menahan tiga bot nelayan yang tiada nombor pendaftaran sedang menangkap ikan dengan menggunakan peralatan kawai di perairan Malaysia tanpa permit yang sah.

Pemeriksaan lanjut ke atas bot itu mendapati ada enam nelayan termasuk seorang tekong di dalam setiap bot, dan mereka juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika diminta penguat kuasa APMM.

Terdahulu, dalam rayuannya, nelayan itu meminta mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana mereka perlu menanggung anak dan isteri di kampung halaman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:12 AM