Sintok: Kerajaan menaik taraf Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) sebagai jabatan dengan nama Agensi Keselamatan Sempadan bagi menjalankan tugas kawalan dan keselamatan di sempadan negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kewujudan entiti baru itu bukan satu langkah janggal malah terbukti berkesan seperti diamalkan di United Kingdom (UK).

Menurutnya, perkara itu masih dalam peringkat kajian sebelum dibawa ke mesyuarat Kabinet dan percaya kewujudannya pilihan terbaik bagi membanteras rasuah sekali gus memastikan sempadan negara tidak dicerobohi.

“Kertas dasar sudah disediakan dan dikemukakan kepada jemaah menteri untuk diluluskan dan kami mungkin menambah beberapa agensi penguatkuasaan lain menyertai agensi baru ini seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen.

“Tetapi kami tidak mahu apabila agensi baru ini dinaik taraf, masyarakat beranggapan wujud pelbagai jawatan baru atau penambahan peruntukan. Sebaliknya, jika penyeludupan dan pemerdagangan manusia menerusi sempadan negara dikurangkan ada imbuhan diberikan kepada kakitangan serta pegawai terbabit sebagai insentif.

“Bagaimanapun, saya mahu mengingatkan kepada diri saya dan semua harus mengubah pendirian. Jangan minta dulu, tapi kita memberi dulu. Jangan tunggu orang memberi imbuhan baru mahu memotivasikan diri (tetapi) kita perlu buktikan kepada Perdana Menteri kita tidak meminta sebelum memberi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Mu’adzam Shah UUM, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah Datuk Azmi Che Hussin, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar Keselamatan) KDN Datuk Seri Adenan Ab Rahman.

Ahmad Zahid berkata, beliau memberi penekanan terhadap soal integriti kerana pelbagai tohmahan terhadap pegawai dan anggota penguat kuasa kerap dilaporkan di media massa dan media sosial.

“KDN menetapkan penerapan integriti sebagai asas keselamatan negara dan sebagai teras strategi kedua dalam Dasar Keselamatan Dalam Negeri (DKDN) yang digubal KDN.

“Walau sehebat mana dasar, undang-undang dan sistem yang kita ada, tapi jika pegawai yang melaksanakannya tidak mempunyai integriti, ia tidak berjaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 9:55 AM