PPVB menggalakkan PKS menyokong keperluan syarikat berkaitan industri tenaga.

Menerusi Program Pembangunan Vendor Bumiputera (PPVB), Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuktikan komitmennya kepada agenda negara untuk memupuk vendor Bumiputera yang inovatif, boleh dipercayai, berdaya saing dan cekap dalam sektor pembuatan serta perkhidmatan.

TNB memulakan PPVB pada 1994 dengan objektif menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyokong keperluan syarikat berkaitan industri tenaga.

Selain memupuk vendor menerusi inisiatif pembangunan komprehensif, vendor Bumiputera yang dipilih berpeluang memanfaatkan jenama TNB dalam usaha sama di peringkat global.

Setakat ini, ia mempunyai 14,000 syarikat berdaftar, di mana kira-kira 1,000 terdiri daripada syarikat vendor Bumiputera, dengan nilai kontrak terkumpul sebanyak RM8 bilion dianugerahkan sejak pengenalan program ini yang turut mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan baru.

Bermula 2015, TNB memulakan satu program baru bagi menyediakan ruang kepada syarikat Bumiputera yang berpotensi untuk meningkatkan diri mereka menjadi lebih berdaya saing di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Perolehan TNB, Ir Syed Abu Hanifah Syed Alwi berkata, TNB memulakan langkah perolehan yang lebih berdaya saing berdasarkan merit dalam usaha untuk meningkatkan dan mempercepatkan pertumbuhan PKS Bumiputera di bawah program vendor itu.

Melangkah ke hadapan, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada Agenda Memperkasakan Ekonomi Bumiputera dalam Rancangan Malaysia ke-11 sebagai agenda negara dengan melaksanakan pelbagai program untuk membolehkan syarikat Bumiputera bersaing di pasaran terbuka dan global.

Pelaksanaan agenda itu berdasarkan lima teras utama iaitu membolehkan modal insan Bumiputera; mengukuhkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat; mengukuhkan aset bukan kewangan Bumiputera; meningkatkan keusahawanan dan perdagangan Bumiputera; dan mengukuhkan ekosistem penyampaian perkhidmatan, telah mula membuahkan hasil.

Satu cabang penting dalam mengukuhkan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera ialah pembangunan vendor Bumiputera yang mewujudkan ramai usahawan Bumiputera, di mana TNB sudah berjaya lakukan dan akan meneruskannya.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), menjangka peningkatan sebanyak 20 peratus dalam pendaftaran vendor baru di bawah PPVB tahun ini.

Sejak pelaksanaannya, 16 syarikat utama termasuk TNB sudah melaksanakan PPVB yang membabitkan 2,923 syarikat vendor Bumiputera aktif dengan nilai kontrak terkumpul sebanyak RM53.2 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 7:09 AM