Kuala Lumpur: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan memberi perlindungan sepenuhnya terhadap semua jenis hidupan liar dilindungi sama ada berasal dari negara ini atau diseludup dari luar negara.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan PERHILITAN Semenanjung Malaysia Abdul Kadir Abu Hashim, berkata, pihaknya komited menjalankan tugas menyelamatkan haiwan dilindungi daripada menjadi mangsa sindiket pemerdagangan haram, pemburu tidak berlesen, peniaga dalam talian serta pemilik restoran eksotik.

“Kejayaan demi kejayaan dicapai sepanjang tahun ini oleh pihak PERHILITAN menerusi operasi Op Taring 1, Op Taring II dan Op Taring III membabitkan pelbagai jenis haiwan seperti buaya tembaga, mengkira, kucing batu, tuntung, beruang matahari dan pelbagai spesies burung.

“Semua haiwan diselamatkan ditempatkan sementara di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (PMHLK) Sungkai, Perak,” katanya.

Malah menurutnya, dua anak orang utan yang diselamatkan Julai lalu akan diserahkan kembali kepada pihak Indonesia selepas dijaga baik di negara ini.

“Rampasan itu kes pertama membabitkan orang utan berasal daripada Sumatera, Indonesia. Empat penjenayah yang menyeludup dan mendera haiwan itu akan didakwa di mahkamah penghujung bulan ini mengikut Seksyen 68, Seksyen 71 dan Seksyen 86 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana menyimpan, mengimport dan melakukan kezaliman terhadap hidupan liar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 5:12 AM