PENGUNJUNG mencuba simulator jentera pengorek pada Minggu Pembinaan Antarabangsa 2015.
Oleh Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kadar pekerja binaan berkemahiran di Malaysia ketika ini tidak mencapai tahap tinggi secara asasnya dengan pekerja tempatan hanya mencatat 60 peratus manakala pekerja asing mewakili tujuh peratus.

Perkara itu dilihat tidak memberi impak positif pada industri pembinaan negara memandangkan pekerja binaan perlu berdaya saing bagi membangunkan industri terbabit, sekali gus memberi sumbangan penting kepada ekonomi negara.

Pengurus Besar Sektor Pembangunan dan Kontraktor, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia) Nazli Ahmad Mahyudin berkata, kemahiran tinggi akan membantu pekerja binaan meningkatkan daya saing mereka, sekali gus melonjakkan kualiti dan produktiviti industri pembinaan tempatan.

“Kemahiran tinggi penting dalam industri ini, namun ia perlu digabungkan dengan pendidikan dan penerapan sikap baik untuk memastikan mampu menghasilkan pekerja binaan berdaya saing,” katanya pada Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW 2015), di sini, semalam.

Untuk menangani situasi itu, penghasilan tenaga kerja mahir dalam kalangan golongan belia adalah penting bagi melahirkan barisan pelapis pekerja binaan pada masa akan datang.

“Pada masa ini, kebanyakan belia memiliki tanggapan salah mengenai kerjaya dalam bidang pembinaan di mana mereka anggap ia sukar, kotor dan berbahaya. Maklumat ini perlu diubah bagi memupuk dan mengekalkan minat belia tempatan dalam industri pembinaan.

“Hakikatnya industri ini menawarkan potensi kerjaya menarik dengan imbuhan lebih tinggi bergantung kepada kemahiran dan bidang pembinaan masing-masing.

“Oleh itu, saya menyeru belia tempatan melihat peluang ditawarkan industri ini kerana ia terbuka luas dengan sokongan kerajaan dan swasta,” katanya.

Nazli berkata, CIDB selaku pelaksana dasar dalam industri pembinaan tempatan mengambil pelbagai pendekatan untuk memupuk minat belia terutama golongan muda dalam industri pembinaan.

Menurutnya, CIDB melalui Akademi Binaan Malaysia (ABM) mewujudkan kira-kira 150 Kelab Pembinaan di peringkat sekolah seluruh negara untuk meningkatkan lagi minat mereka terhadap industri pembinaan.

“Kami menganjurkan Pameran Kerjaya Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) setiap tahun bertujuan memberi kesedaran kepada belia mengenai industri pembinaan dan bercadang meluaskan penganjuran pada peringkat wilayah dari semasa ke semasa.

“Kami turut menyelaraskan pusat latihan binaan di seluruh negara membabitkan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Institut Kemahiran MARA (IKM),
GIATMARA dan lain-lain membabitkan lebih 100 entiti,” katanya.

Selain itu, CIDB turut fokus kepada entiti di bawahnya iaitu ABM yang diharap dapat memberi impak positif kepada penghasilan tenaga mahir untuk diserap ke dalam industri pembinaan tempatan di mana pada masa kini ia menghasilkan 250,000 pekerja sejak 2012 hingga Ogos 2015.

CIDB memilik enam ABM di seluruh negara yang memberi fokus kepada bidang pembinaan tertentu seperti ABM Wilayah Tengah yang memberi tumpuan kepada teknologi pembinaan terkini manakala ABM Timur kepada pembinaan dalam sektor minyak dan gas.

Beliau berkata, penganjuran ICW 2015 diharap dapat memberi kesedaran mengenai teknologi terkini dalam bidang pembinaan termasuk Sistem Binaan Perindustrian (IBS) dan Permodelan Informasi Bangunan (BIM).

Menurutnya, beliau yakin kunjungan belia daripada pelbagai peringkat umur pada acara ini mampu mewujudkan kesedaran dan minat untuk menceburi bidang pembinaan terutama dalam teknologi pembinaan terkini.

“Saya lihat ia sebagai bidang baru yang boleh diceburi golongan muda kerana ia lebih mesra kepada mereka terutama BIM kerana menggunakan komputer dan teknologi terkini dalam menghasilkan sesuatu bangunan,” katanya.

Dalam masa sama, acara itu memaparkan potensi dalam bidang pembinaan tertentu termasuk pembinaan dalam sektor minyak dan gas di mana ia mampu menjamin pendapatan lebih lumayan berbanding bidang pembinaan lain.

“Pada masa ini, sambutan terhadap program latihan pembinaan dalam sektor minyak dan gas sangat positif di mana ia membabitkan kira-kira lebih 10 kursus termasuk kimpalan, binaan besi, cat dan lain-lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 6:05 AM