ABDUL Razak (kanan) bersama Amran (kiri) melihat murid tahun tiga yang menyertai program LINUS menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru di Sekolah Kebangsaan Gelong.
Oleh Syahid Sokri
am@hmetro.com.my

Pelaksanaan program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mula terbukti apabila tahap penguasaan murid dalam kemahiran asas seperti membaca dan mengira yang dianggap penting untuk melonjak kecemerlangan industri pendidikan negara semakin meningkat, setaraf kadar literasi universal.

Ini berikutan program itu yang bermula sejak 2010 lalu didapati memberi impak cukup positif dalam sistem pendidikan sekolah rendah, khususnya bagi mengenal pasti murid yang mempunyai masalah pembelajaran lebih awal menerusi saringan yang dilakukan.

Program ini secara tidak langsung membolehkan murid yang dikenal pasti gagal menguasai kemahiran terbabit secara optimum akan diberi bantuan intensif supaya boleh mengikuti pembelajaran dengan lebih berkesan, seterusnya membantu dalam pembangunan holistik murid selaras Aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Ia terbukti apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Gelong, Kubang Pasu, Kedah yang dikategorikan sebagai sekolah luar bandar mampu bersaing dengan sekolah-sekolah lain di negara ini berikutan pengenalan program LINUS 2.0 ini banyak memberi kelebihan kepada murid-murid untuk meningkat kemahiran membaca dan mengira.

Guru Besarnya Amran Ahmad berkata, ada 26 orang tenaga pengajar di sekolah berkenaan, namun hanya enam guru terpilih mengajar di bawah program terbabit iaitu tiga guru untuk Literasi Bahasa Malaysia, dua guru untuk Literasi Bahasa Inggeris dan seorang guru untuk Numerasi.

Katanya, pada tahun ini, terdapat 29 murid Tahun Satu mengikuti program berkenaan, selain 37 murid berada di Tahun Dua dan 35 murid lain di Tahun Tiga di sekolah berusia lebih 46 tahun terbabit.

“Berdasarkan keadaan semasa, kita mendapati keberkesanan program LINUS 2.0 ini dengan pembabitan menyeluruh daripada semua pihak terutama guru-guru berkaitan dan ibu bapa untuk membantu murid-murid menguasai kemahiran membaca, menulis serta mengira.

“Pengenalan program ini juga bukan saja membabitkan enam guru berkenaan, tetapi guru-guru lain juga akan terbabit dengan memainkan peranan masing-masing untuk membantu penguasaan murid di Tahun Satu, Tahun Dua dan Tahun Tiga dalam tiga kemahiran itu.

“Pembabitan waris murid juga amat penting untuk mengetahui tahap penguasaan anak masing-masing menerusi sesi taklimat yang diberikan pihak sekolah kerana sokongan dan bantuan kewangan diberikan mereka mampu memastikan kejayaan program ini pada masa depan,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Pasu Abdul Razak Mat dan Penolong Pengarah Kanan Matematik Rendah Jabatan Pendidikan Negeri merangkap Pegawai Meja LINUS Choong Kok Hung.

Amran berkata, bagi memastikan kejayaan program LINUS 2.0 di sekolah terbabit, pihaknya melakukan inovasi menerusi daya kreativiti tenaga pengajar dengan pengenalan program Kicauan Murai untuk meningkatkan kemahiran literasi yang diadakan selama 15 minit bermula jam 7.30 pagi setiap Ahad sebelum kelas bermula.

Menurutnya, selain itu pihaknya juga menggunakan kaedah Kelas Penyayang selama 15 minit dari Isnin hingga Khamis dari jam 12.45 tengah hari di mana guru-guru akan meluangkan masa untuk membimbing murid-murid secara individu dan turut diberikan token sebagai pembakar semangat.

Selain itu, katanya, pengenalan program Mentor dan Protege juga akan dilaksanakan apabila murid Tahun Enam yang selesai mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 boleh menjadi pembimbing kepada murid-murid di bawah program terbabit bagi meningkatkan kemahiran literasi dan numerasi.

“Saya mendapati prestasi murid-murid semakin meningkat sejak pelaksanaan program LINUS 2.0 ini kerana mereka menunjukkan minat dan kesungguhan, selain pihak sekolah mampu mengenal pasti murid yang berdepan masalah untuk diberikan lebih tumpuan supaya mampu bersaing dengan rakan lain.

“Penggunaan alat bantuan mengajar dan alat permainan selain suasana lebih ceria di dalam kelas atas dasar kreativiti seseorang guru terbabit membuatkan murid-murid rasa seronok untuk belajar disebabkan mereka beranggapan diberi perhatian sebelum boleh memasuki pendidikan arus perdana di Tahun Empat.

“Ini kerana kita sebagai tenaga pengajar mahu memastikan murid-murid ini sudah boleh menguasai kemahiran asas literasi Bahasa Malaysia, literasi Bahasa Inggeris dan numerasi ketika berada di Tahun Tiga sebelum boleh melangkah ke hadapan selaras dengan perkembangan sistem pendidikan negara,” katanya.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, program yang dirangka di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) itu, bertunjangkan tiga kemahiran asas berkenaan yang berkonsepkan bimbingan dan saringan serta pendidikan di dalam serta luar kelas sebelum murid-murid memasuki Tahun Empat.

Menurutnya, menerusi program LINUS 2.0, murid akan diberi latihan dan bimbingan bagi mencapai standard literasi serta numerasi yang dijadualkan sepanjang tiga tahun pertama sekolah rendah supaya mereka bersedia sepenuhnya untuk proses pembelajaran mendatang.

“Murid-murid ini akan menjalani saringan lisan dan membaca pada Mac dan September setiap tahun di mana setiap mereka perlu lulus.

“Jika gagal, guru masing-masing akan memberi lebih penumpuan kepada mereka dengan mengenal pasti masalah sebelum proses pembelajaran dan pengajaran itu akan dibuat secara berperingkat sehingga berjaya.

“Program ini memberi fokus kepada murid tanpa mengabaikan mereka kerana generasi muda perlu mempunyai kemahiran asas berkenaan yang disifatkan begitu penting jika negara mahu menjadi negara maju pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya selaku pemantau menyasarkan murid-murid di bawah program itu mampu berkomunikasi dengan bahasa yang betul, berani dalam berinteraksi selain juga mahir dalam pengiraan.

Katanya, program berkenaan juga tiada sempadan di antara sekolah bandar atau sekolah luar bandar kerana saringan disediakan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sekali gus berharap dapat mengurangkan jurang perbezaan terbabit.

“PPD akan bekerjasama dengan pihak sekolah untuk memastikan program ini mencapai sasaran. Bagi menepati sasaran utama kebolehan literasi Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Numerasi, Fasilinus akan turun padang ke sekolah dan membuat bimbingan secara individu kepada guru dan murid yang terbabit dalam program ini.

“Fasilinus akan berkongsi kemahiran dengan guru untuk menyediakan persekitaran pembelajaran secara lebih kreatif, kondusif dan menarik minat murid-murid yang lambat dalam mengikuti proses pembelajaran dan pengajaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:33 AM