Oleh Fazrol Nasir
am@hmetro.com.my

Kuantan

Seramai 126 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating, dekat sini, mendapat suntikan semangat sebelum menduduki peperiksaan itu minggu depan melalui kelas tambahan disediakan Media Prima Berhad (MPB) sejak November tahun lalu.

Guru Penolong Kanan Pentadbiran SK Cherating Rihannah Salleh berkata, pihaknya yakin murid tahun enam berkenaan bersedia dan mampu memperoleh keputusan lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, pihak sekolah menyasarkan sembilan murid memperoleh 5A tahun ini berbanding enam pada tahun lalu.

“Kelas tambahan disediakan MPB memberikan manfaat kepada calon dalam menghadapi peperiksaan dan menjadikan mereka lebih berkeyakinan selain memperbaiki kelemahan diri.

“Pihak MPB turut menyediakan program lain seperti ceramah motivasi dan kursus kepemimpinan pelajar kepada calon UPSR sebelum mereka menduduki peperiksaan,” katanya dalam Majlis Restu Ilmu dan Solat Hajat anjuran MPB di sekolah itu, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengurus Unit Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Jabatan Komunikasi Korporat MPB Muhamad Nazim Ismail dan Imam Masjid Cherating, Mustafa Yusof.

Beliau berkata, pihaknya bersyukur kerana MPB sudi menjadikan sekolah itu sebagai sekolah angkat sehingga 2017 selain menyediakan pelbagai program bagi meningkatkan kecemerlangan akademik dan kemahiran murid sekolah itu.

Rihannah berkata, program kelas tambahan membolehkan calon UPSR sekolah itu lebih bersedia menjawab soalan bagi subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains pada setiap hujung minggu dan cuti persekolahan.

Sementara itu, calon UPSR Muhammad Danial Aiman Mohd Din, 12, dari Perkampungan Cherating Perdana, di sini, berkata kelas tambahan itu membantu meningkatkan prestasi pembelajarannya.

“Sebelum ini, kami tidak mengikuti mana-mana kelas tambahan memandangkan kebanyakan keluarga murid di sekolah ini golongan kurang berkemampuan, tetapi dengan kelas tambahan MPB kami dapat memperbaiki kelemahan masing-masing,” katanya.

Bagi Aisyah Tira Jamaludin, 12, dari Kampung Cherating Lama, di sini, berkata, keputusan subjek Matematik meningkat dengan bantuan guru dan rakan lain dalam kelas tambahan itu.

“Kami saling membantu dan belajar dalam kumpulan selain mempelajari teknik menjawab soalan dengan betul,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:31 AM