ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa lemas di Sungai Krubong.
Oleh Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my

Melaka: Seorang bakal pengantin yang dijangka melangsungkan perkahwinannya hari ini lemas ketika cuba menyeberang Sungai Krubong, di sini, dalam kejadian jam 6 pagi, semalam.

Ketika kejadian, mangsa berusia 22 tahun bersama abangnya menunggang sebuah motosikal, namun mereka dikatakan terkejut dengan kehadiran sepasukan anggota polis melakukan serbuan di lokasi berhampiran lalu bertindak terjun ke dalam sungai terbabit.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah ketika ditemui mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas.

Beliau berkata, ketika menyeberang sungai terbabit, mangsa dikatakan tenggelam dan gagal dikesan, bagaimanapun abangnya yang berusia 28 tahun berjaya menyelamatkan diri.

“Kami terpaksa mendapatkan bantuan anggota bomba bagi membantu mengesan mangsa yang berjaya ditemui lima jam kemudian dan terus dihantar ke Hospital Melaka, di sini, untuk dibedah siasat.

“Hasil laporan bedah siasat mendapati kematian mangsa tidak mempunyai kaitan dengan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh Wan Azlan Wan Abdul Jalil ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian terbabit pada jam 9.52 pagi.

Katanya, dua jentera bersama seorang pegawai dan enam anggota dari BBP Ayer Keroh dan BBP Jalan Kubu dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu gerakan mengesan mangsa.

“Berdasarkan maklumat diterima, kami melakukan pencarian di lokasi mangsa dipercayai lemas dan 15 minit kemudian, anggota operasi berjaya mengesan mayat lelaki itu pada kedalaman dua meter di dasar sungai.

“Kami kemudian membawa mayat mangsa ke tebing sungai sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 3:57 AM