Oleh Nabihah Kamal
am@hmetro.com.my

Bangi: “Walaupun menahan sakit ditetak, namun saya tetap melawan perompak yang cuba melarikan pacuan empat roda saya itu,” kata ahli perniagaan yang disamun dua penjenayah berhampiran Seksyen 9, Bandar Baru Bangi di sini.

Dalam kejadian jam 4.45 petang kelmarin, mangsa berusia 38 tahun dalam perjalanan mengambil anaknya di sebuah tadika berhampiran kedainya.

Mangsa yang enggan namanya didedahkan berkata, kejadian berlaku sejurus dia masuk ke dalam pacuan empat roda model Toyota Hilux dan menghidupkan enjin kenderaan.

Menurutnya, sebuah kereta Toyota Vios tiba-tiba merempuh kenderaannya dari belakang.

“Dua lelaki yang dipercayai warga Indonesia keluar dari kereta itu dan terus meluru masuk ke dalam pacuan empat roda.

“Mereka mengarahkan saya keluar daripada kenderaan dengan mengacukan dua pedang sepanjang hampir satu meter,” katanya.

Katanya, dia nekad cuba merampas pedang seorang suspek yang duduk di bahagian penumpang hadapan, namun rakan suspek bertindak menetak tangan kirinya.

“Dalam pergelutan itu, saya sempat mengundurkan kenderaan dan cuba melarikan diri. Namun usaha saya gagal berikutan dihalang dua suspek.

“Saya terpaksa bergelut dengan suspek dan cuba mencapai objek di bahagian papan pemuka kenderaan untuk menyerang suspek, tetapi gagal. Saya kemudian terjatuh keluar daripada kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mangsa memberitahu, dia cuba memecahkan tayar kenderaan itu, namun usahanya gagal dan suspekmelarikan pacuan empat roda itu.

Katanya, beberapa orang awam yang menyaksikan insiden berkenaan sempat mengambil nombor pendaftaran kereta Vios itu yang dinaiki suspek.

“Orang ramai menghantar saya ke sebuah hospital swasta berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 6:53 AM