WAN Fathurahman ketika keluar dari Mahkamah Khas Rasuah Ipoh selepas didakwa atas 14 pertuduhan menyalahgunakan kuasa.

Ipoh: Seorang bekas tentera berpangkat leftenan komander mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini, semalam, atas 14 pertuduhan menyalahgunakan kuasa melantik syarikat milik adiknya menjalankan kerja-kerja pembekalan di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.

Tertuduh, Wan Fathurahman Wan Musa, 48, didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik Mesyuarat Depot Bantuan Pangkalan TLDM Lumut antara Oktober 2011 hingga November 2012, membabitkan jumlah tender sebanyak RM833,332.

Tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Memerintah Depot Bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Lembaga Penganugerahan Sebut Harga bagi membolehkan kontrak dan tender pembekalan diberikan kepada adiknya, Wan Rahmat Marzuki Wan Musa yang juga pemilik kepada dua syarikat iaitu Syarikat Delima Evolusi Sdn Bhd dan syarikat WTY Defcorp Sdn Bhd.

Bagi setiap kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama dan sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 9:28 AM