Kuala Lumpur: Seorang pemandu lori yang membelasah isteri serta anak kandungnya berusia tujuh tahun menggunakan penyapu dan besi aluminium langsir di tempat beribadat bulan lalu, mendapat pembalasan apabila dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menjatuhkan hukuman itu terhadap P Gnasean, 52, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan bapa kepada enam anak itu menjalani hukuman serentak bermula tarikh ditangkap, 25 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, Gnasean didakwa memukul isterinya berusia 47 tahun serta anak lelaki sehingga cedera di Kuil Om Sri Muniswaran, Batu 6 1/2, Jalan Ipoh, Sentul di sini, jam 9 malam, 23 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM2,000 atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 10:22 AM