TENGKU Aziz (kiri) berbincang dengan petugas Talian Ibadat di bilik operasi.

Makkah: Jemaah haji Malaysia boleh memanfaatkan Talian Ibadat yang disediakan Tabung Haji (TH) bagi mengemukakan sebarang kemusykilan berhubung ibadat di Tanah Suci.

Pengarah Operasi Bimbingan TH Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, jemaah haji boleh menghubungi talian 012-5706161 yang beroperasi 24 jam bermula pada 4 September atau 20 Zulkaedah 1436 H.

Talian Ibadat itu, katanya, turut dibuka sehingga 4 Oktober atau 20 Zulhijjah iaitu selepas pelaksanaan hari wukuf yang juga rukun dalam ibadah haji.

Wukuf bermula dari tergelincir matahari (masuknya waktu Zuhur) pada 9 Zulhijjah sehingga terbitnya fajar waktu Subuh pada 10 Zulhijjah.

Menurutnya, ada 39 pembimbing ibadat yang bertugas membantu jemaah haji muassasah di sini dan Madinah.

Beliau berkata, khidmat Talian Ibadat berperanan kepada jemaah haji menyelesaikan masalah hukum.

“Mereka yang berada di Tanah Suci sama ada di Makkah, Madinah, Jeddah atau di mana saja boleh bertanya mengenai masalah yang timbul,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:17 AM