Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang penceramah bebas dan pasangannya kerana gagal hadir pada prosiding sebutan kes khalwat mereka, dua tahun lalu.

Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain memerintahkan demikian terhadap lelaki yang berusia 39 tahun dan wanita berusia 40 tahun itu selepas membenarkan permohonan Pegawai Pendakwa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Zainur Rashid Hassin.

Waran tangkap turut dikeluarkan terhadap penjamin mereka selepas lelaki itu juga tidak muncul di mahkamah.

Bagaimanapun, hanya tertuduh ketiga yang berusia 21 tahun yang juga adik tertuduh wanita hadir ke mahkamah dan jurubahasa membaca pertuduhan kepadanya.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa berada bersama-sama dengan seorang lelaki iaitu penceramah bebas berkenaan yang bukan suami atau mahram baginya dalam keadaan boleh menimbulkan syak sedang melakukan perbuatan tidak bermoral di sebuah rumah di Taman Keramat Wangsa, dekat sini, jam 2.55 pagi, pada 24 Ogos 2013.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 27(b), Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 iaitu khalwat yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun tidak merekodkan sebarang pengakuan daripada tertuduh berikutan Mohd Amran menarik diri daripada mendengar kes terbabit untuk mengelakkan subjudis dan prejudis atas alasan sedang mengendalikan kes pengesahan nikah membabitkan tertuduh pertama dan kedua.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh ketiga dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 26 November ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 10:25 AM