PELAJAR SK Batu Empat gembira mendapat belon percuma.

Kuala Lumpur: Lebih 500 guru dan ibu bapa memeriahkan program Santai@School anjuran Pusat Punguntan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Empat (1), di sini, semalam.

Penolong Pengurus Besar Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Nor Mukshar Harun berkata, program itu bertujuan memberi maklumat berkaitan zakat serta peranan agensi itu kepada warga pendidik dan komuniti sekitar sekolah berkenaan.

“Mereka boleh mendapatkan khidmat berkaitan kelayakan pembayaran zakat melalui kakitangan PPZ-MAIWP serta skim bantuan zakat yang disediakan Baitulmal.

“Selain itu, turut diselitkan program santai bersama pelawak Man Raja Lawak, ceramah agama dan program motivasi bersama murid darjah empat, lima, dan enam,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Batu Empat (1) Md Faisal Mohd Salih berkata program itu dapat merapatkan lagi jalinan antara pihak sekolah, ibu bapa dengan PPZ-MAIWP.

“Program ini bukan saja memberi kemudahan kepada pengunjung untuk mengetahui peranan sebenar agensi itu, tetapi ia juga merapatkan hubungan antara PPZ-MAIWP dengan komuniti di sini.

“Mereka yang datang boleh melihat apa bantuan yang sesuai dipohon khusus bagi golongan asnaf selain menyemak kelayakan pembayaran zakat,” katanya.

Karnival selama sehari itu adalah antara program bulan kemerdekaan sekolah berkenaan yang turut mendapat kerjasama KLfm.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 10:02 AM