AWANG ketika sidang media di Kuala Lumpur, semalam.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kumpulan militan Pattani, Majlis Syura Pattani mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan Thailand termasuk menjadikan dialog damai dengan mereka sebagai agenda nasional bagi menamatkan konflik di wilayah selatan negara itu.

Selain itu, mereka mahu kerajaan Thailand mengiktiraf Majlis Syura Pattani atau Mara Pattani sebagai organisasi sah.

“Kita juga mahu kerajaan Thailand memberikan imuniti kepada anggota Majlis Syura Pattani, yang terbabit dengan proses dialog ke arah keamanan di wilayah selatan ketika proses rundingan dengan kerajaan Thailand,” kata Pengerusi Majlis Syura Patani Awang Jabat pada sidang media di sini, semalam.

Seramai tujuh anggota majlis itu, yang mewakili beberapa kumpulan militan di selatan Thailand menghadiri sidang media itu yang diadakan dalam bahasa Melayu dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

Wakil media antarabangsa termasuk dari Thailand turut membuat liputan sidang media itu, yang menampilkan buat kali pertama anggota Majlis Syura Pattani.

Majlis Syura Pattani adalah gabungan enam kumpulan militan yang terdiri daripada Barisan Revolusi Nasional (BRN), tiga pihak dalam Pattani Liberation Organisation (Pulo), Gerakan Mujahideen Islam Patani dan Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP).

Awang berkata, Majlis Syura Pattani mengemukakan perkara itu pada pertemuan dengan wakil kerajaan Thailand dalam rundingan damai pusingan ketiga di sini.

Rundingan dua hari itu diadakan pada Selasa dan Rabu dengan Malaysia menjadi fasilitatornya. Rundingan sama pernah diadakan di sini pada April dan Jun lalu.

Awang berkata, Majlis Syura Pattani berpendapat penting bagi kerajaan Thailand menjadikan dialog damai sebagai agenda nasional berikutan kekerapan pertukaran kerajaan negara itu hingga menjejaskan proses sesi dialog damai.

“Ini menyebabkan proses dialog yang bertujuan mencari penyelesaian konflik di selatan Thailand tidak dapat dimuktamadkan dan terus berlarutan,” katanya.

Ditanya maklum balas kerajaan Thailand berhubung tuntutan Majlis Syura Pattani, Awang berkata pihak belum mendapat sebarang reaksi daripada kerajaan.

Beliau menjelaskan pihaknya mengemukakan ketiga-tiga tuntutan itu bagi melancarkan proses rundingan damai dengan kerajaan Thailand untuk menamatkan konflik di wilayah selatan negara itu.

“Bagaimanapun, dengan tiga tuntutan baharu ini, ia tidak bermakna kumpulan militan Pattani menggugurkan tuntutan yang diperjuangkan sebelum ini.

“Kami masih menuntut keadilan dan kebebasan bagi rakyat Pattani untuk menentukan masa depan mereka sendiri.

“Sama ada mereka mahu keluar dari Thailand, diberikan lebih autonomi dalam urusan pentadbiran di wilayah selatan atau pun terus kekal dalam Thailand, biarlah rakyat Pattani sendiri diberi pilihan untuk menentukan perkara ini.

“Kami sebagai wakil mereka hanya menjalankan rundingan dengan kerajaan Thailand kerana kami percaya menerusi dialog damai ini sahaja dapat menyelesaikan konflik ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 9:44 AM