Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang anggota polis memberitahu Mahkamah Majistret di sini, semalam, dia menerima maklumat awal mengenai kemalangan maut di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) pada 2 Mei lalu membabitkan dua kereta Perodua Myvi dan sebuah pacuan empat roda jenis Pajero.

Koperal Ahmad Fauzi Taha, 47, dari Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee berkata, maklumat itu diperoleh melalui panggilan telefon daripada Lans Koperal Zulkifli yang berada di bilik gerakan berdasarkan maklumat daripada Lans Koperal Amir yang berada di tempat kejadian.

“Dalam kejadian itu, dimaklumkan pemandu Pajero meninggal di tempat kejadian manakala isteri mangsa dikejarkan ke hospital menaiki ambulans dan anaknya pula dibawa ke hospital oleh orang awam,” katanya yang juga anggota bertugas sebagai penyelia pejabat pertanyaan balai polis berkenaan.

Ahmad Fauzi berkata demikian selaku saksi pendakwaan pertama pada prosiding perbicaraan dua pemandu Perodua Myvi yang dituduh memandu secara berbahaya dan menyebabkan kematian tiga beranak di lebuh raya itu.

Sementara itu, ketika menjawab soalan pihak pembelaan, Ahmad Fauzi bagaimanapun tidak dapat memastikan sama ada Amir berada di tempat kejadian atau sebaliknya.

Mengikut pertuduhan, juruteknik komputer, Mohamad Fizal Reza Jamauddin, 31, dan penolong pengurus restoran, Siti Noor Aini Mohd Said, 35, didakwa memandu secara berbahaya dan menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya Nova Safitri Azhari, 27, dan bayi mereka, Nur Firuza Annisa, enam bulan.

Kemalangan itu berlaku di KM 6, Lebuhraya DUKE dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta, jam 12.31 pagi hingga 12.35 tengah malam, pada 2 Mei lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM20,000 jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim dan Nadiah Malek Fauzie manakala Noor Aini diwakili peguam Omar Bakri Ahmad dan Fizal Reza Jamauddin diwakili peguam SN Seelan.

Prosiding di hadapan Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan bersambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 9:02 AM