Kelana Jaya: Usaha pasangan suami isteri Ismail Meli, 63, dan Munah Muda, 60, mengemukakan rayuan selama tujuh tahun bagi mengerjakan ibadah haji akhirnya berbaloi apabila terpanggil menjadi tetamu Allah SWT pada musim ini.

Pasangan suami isteri itu mula mendaftar bersama Tabung Haji sejak 2007 dan tidak pernah berputus asa untuk bergelar jemaah haji biarpun setiap kali terpaksa berada dalam senarai menunggu sekiranya ada individu menolak panggilan mengerjakan ibadah haji pada saat akhir.

“Kalau diikutkan saya terpaksa menunggu lebih lama untuk mengerjakan ibadah haji, namun saya cekalkan hati untuk teruskan merayu supaya dipercepatkan giliran kerana kesihatan diri semakin merosot.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada rezeki seseorang sama ada dapat mengerjakan ibadah haji lebih awal atau lambat kerana akhirnya hanya Allah SWT yang berkuasa menentukannya,” katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Menurut Ismail, panggilan mengerjakan haji baginya dan isteri pada kali ini juga adalah pada saat akhir kerana ada kekosongan selepas semua jemaah disenaraikan.

“Tanpa membuang masa, saya dan isteri terus membuat persiapan dan menggunakan wang simpanan bagi mencukupkan bayaran tambang untuk ke Tanah Suci.

“Peluang untuk ke Tanah Suci adalah sesuatu yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit kerana biarpun seseorang itu mempunyai banyak wang, hanya yang terpilih boleh ke sana,” katanya.

Munah turut bersyukur kerana dikurniakan suami yang tidak kenal erti putus asa apabila sentiasa memberinya semangat untuk mengerjakan ibadah haji biarpun baru menjalani pembedahan lutut tahun lalu.

“Suami selalu ingatkan bahawa lebih ramai jemaah haji yang sakit dan memerlukan penjagaan rapi, namun masih bersemangat untuk mengerjakan rukun Islam kelima tanpa banyak rungutan.

“Jadi, mengapa saya perlu kalah dengan sakit sementara ini sedangkan sesuatu yang kekal menanti di Tanah Suci yang mungkin tidak akan tiba lagi selepas ini,” katanya.

Ismail dan Muna ditemui di Kompleks Tabung Haji, di sini, semalam, antara 279 jemaah haji yang berangkat ke Makkah menerusi penerbangan ke-14.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 10:19 AM