SULIMAH (kanan) ditenangkan jiran tetangga dan sahabat handai di atas kehilangan arwah suaminya bersama dua anaknya.

Tanjung Karang: “Sebelum kejadian, tiada yang pelik dan janggal berlaku kepada kami sekeluarga cuma arwah suami banyak berpesan supaya jangan tinggalkan rumah selama empat bulan sekiranya beliau meninggal dunia nanti.

“Saya tidak memandang serius apa yang diucapkan,” kata Sulimah Suratman, 50, ketika ditanya mengenai perubahan sikap suaminya Mohammad Khamdani Sardi, 57.

Mohammad Khamdani bersama dua anaknya, Siti Salwani, 33, dan Mohamad Rafee, 30, maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki merempuh belakang sebuah lori tangki.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 4 petang kelmarin di Kilometer 35.9 Lebuh raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), menghala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Anak kelapan Mohamad Khamdani, Aidil Putra, 12, dan cucunya iaitu anak kepada Mohamad Rafee, berusia dua tahun masih dirawat di Hospital Putrajaya.

Sulimah berkata, sebelum kemalangan, mereka sekeluarga menaiki dua kereta berasingan untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara belah arwah suaminya di Seremban.

“Saya menaiki kenderaan bersama anak ketiga serta dua anak perempuan manakala arwah suami menaiki kereta Mohamad Rafee bersama Siti Salwani dan Aidil Putra serta anak mereka, Mohamad Rafee.

“Selesai menghadiri majlis perkahwinan itu, kami terus bergerak pulang manakala Mohamad Rafee perlu ke Melaka bagi menghantar barang.

“Kami merancang untuk berhenti di Dengkil, tetapi setelah berbincang, kami bersetuju bertemu di Pantai Remis, Jeram, bagi membeli makanan di situ,” katanya.

Bagaimanapun, Sulimah berkata, setiba di Pantai Remis, dia cuba menelefon Mohamad Rafee sebelum panggilan telefon itu dijawab oleh seorang anggota polis.

“Anggota polis terbabit memaklumkan kenderaan yang dinaiki suami dan anak terbabit dalam kemalangan,” katanya.

Jenazah tiga beranak itu selamat dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Datuk Manan, di sini pada jam 10 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 11:39 AM