Georgetown: “Semua yang dilakukan ini hanya untuk anak kami,” kata Nazri Marzuki, 29, selepas gambarnya menjual jagung cawan dengan menunggang motosikal bersama isteri dan anak menjadi viral dalam Facebook (FB), sejak dua hari lalu.

Lebih menyentuh perasaan apabila anak tunggalnya, Nur Dhiya Zara Faridah, tujuh bulan, tertidur dipangku ibunya, Nor Diyana Samsuddin, 30.

Gambar itu dirakam pelanggan mereka yang memesan jagung dalam cawan di Padang Kota, di sini, kira-kira jam 3 pagi Selasa lalu dimuat naik ke dalam akaun FB milik lelaki terbabit sebelum menjadi viral dengan ramai bersimpati dengan nasib mereka.

Nazri berkata, dia tidak menyangka gambar itu menjadi viral kerana dia biasa membawa isteri serta anak setiap kali menghantar pesanan pelanggan sejak lebih setahun lalu.

“Bukan mahu meraih simpati, namun memang ini yang saya lakukan sejak anak lahir lebih setahun lalu dan ia dilakukan kerananya.

“Sekurang-kurangnya saya melakukan pekerjaan halal dan tidak menyusahkan sesiapa, malah isteri memberi sokongan kuat dan sanggup menemani saya menghantar pesanan kepada pelanggan,” katanya.

Nazri berkata, dia anak tunggal dan yatim piatu, tetapi tidak mahu bergantung hidup kepada saudara mara lain.

“Saya akui dilahirkan dalam keluarga susah dan kedua-dua arwah ibu serta bapa tidak meninggalkan harta selepas meninggal dunia.

“Walaupun hidup susah, saya tidak mahu hidup anak turut susah dan disebabkan itu saya bersemangat mencari rezeki..

“Saya nekad menjual jagung dalam cawan secara penghantaran dari rumah ke rumah.

“Alhamdulillah, cara itu mendapat sambutan daripada pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2015 @ 7:50 AM