Oleh Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Usaha untuk mewujudkan komuniti usahawan Bumiputera masih belum mencapai peringkat kejayaan sepenuhnya atau bilangan yang cukup kukuh,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, berbanding usaha melahirkan golongan pertengahan dalam kalangan kaum itu pencapaiannya boleh dibanggakan.

Kata beliau, usahawan kaum berkenaan juga belum mencapai kejayaan dari sudut pasaran selain lebih bergantung kepada usaha kerajaan semata-mata.

Beliau berkata, sehubungan itu strategi utama dan telus yang ditetapkan seperti dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) akan dilaksanakan dari tahun 2016 hingga 2020.

“Kita dalam peringkat langkah terakhir dalam usaha membangunkan komuniti tersebut dengan menumpukan kepada usaha lebih gigih dan memperkenalkan program terbaru seperti yang kerajaan lakukan termasuk menubuhkan Majlis Pemerkasaan Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Bumipreneurs of Tomorrow 2015 (BAHTERA) di sini, semalam.

Selaras dengan usaha kerajaan memperkasa ekonomi Bumiputera seperti dalam RMK-11, inisiatif BAHTERA adalah landasan mapan untuk menangani jurang maklumat usahawan.

Program itu yang juga data utama akan dapat membantu usahawan melonjakkan usaha niaga mereka melalui maklumat perniagaan pintar, strategi penjenamaan yang berkesan dan seiring dengan penggunaan teknologi yang tepat.

Ia juga bertujuan menghimpunkan sektor awam dan swasta dalam usaha membina ekosistem sokongan yang lebih mantap buat usahawan terbabit.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, lima strategi utama berkenaan ialah memperkasa modal insan, meningkatkan penguasaan efektif Bumiputera dan mengekalkan pemilikan korporat dan memperluas peratusan pemilikan kekayaan Bumiputera.

Kata beliau, memperkasa komuniti ekonomi Bumiputera dan mengukuhkan keberkesanan penyampaian program berorientasikan Bumiputera turut menjadi strategi ke arah memperkukuh peluang komuniti itu.

“BAHTERA adalah ruang landasan bagi usahawan dan peniaga Bumiputera kerana ia adalah data utama yang mengandungi maklumat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), ePerolehan, Lembaga Pembangunan lndustri Pembinaan Malaysia (CIDB), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan entiti lain yang berkaitan,” kata beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 8:17 AM