ANTARA rampasan menerusi rantaian operasi mencegah lambakan rokok seludup.
Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Rantaian akhir sindiket penyeludupan rokok iaitu penjual runcit semakin gentar menjual barang terlarang itu selepas operasi agresif Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dilaksanakan di seluruh negara.

Tinjauan Harian Metro di beberapa kedai runcit termasuk dikuasai peniaga asing di ibu negara seperti Jalan Chow Kit, Pantai Dalam dan Keramat mendapati rokok seludup semakin sukar dibeli.

Senario itu sekali gus membuktikan operasi berterusan dilaksanakan pihak berkuasa khususnya JKDM berkesan mengurangkan lambakan penjualan rokok seludup di pasaran terbuka.

Sebelum pengisytiharan gempur habis-habisan menerusi Op Pacak dan Op Outlet untuk melumpuhkan rantaian sindiket itu, rokok seludup begitu mudah didapati malah ada premis yang secara terang-terangan menjualnya dengan meletakkan di rak terbuka di kaunter kedai.

Bagaimanapun wartawan yang menyamar sebagai pembeli sukar mendapat rokok seludup di beberapa premis dikenal pasti berdasarkan aduan orang ramai.

Dengan kata kunci ‘rokok murah’ bagi merujuk rokok seludup, kebanyakan peruncit yang ditemui memberikan jawapan tidak menjualnya dengan alasan takut ditangkap pihak berkuasa.

Wartawan juga gagal membeli rokok seludup di tujuh kedai runcit dan restoran sekitar Pantai Dalam, Bangsar, Jalan Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Keramat, di sini, yang sebelum ini dikatakan terkenal dalam kalangan perokok.

Kesan pelaksanaan Op Outlet 2.0 Rokok dan Arak Seludup mula dilihat apabila semakin ramai peruncit dikenakan tindakan undang-undang selepas didapati bersalah menjual rokok seludup.

Disebabkan penguatkuasaan tegas itu, ada segelintir peruncit tidak bertanggungjawab hanya menjual rokok seludup kepada pelanggan tetap dan barang itu akan dibungkus dengan kertas akhbar untuk mengelak diketahui umum.

Selain operasi agresif pihak berkuasa, hebahan berterusan media untuk menyokong kerajaan membanteras gejala penyeludupan rokok termasuk Media Prima Berhad (MPB) yang melancarkan Kempen #taknakseludup, sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia bermula 31 Mei lalu turut membantu mendidik masyarakat.

Bagi tempoh Januari hingga April lalu, JKDM menahan 196 orang selepas memeriksa 1,056 premis dan merampas 5.5 juta rokok seludup bernilai RM4.8 juta.

Sesiapa yang menyimpan, memiliki dan mengangkut rokok atau arak seludup boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum maksimum penjara tiga tahun atau denda 20 kali ganda daripada nilai barangan atau kedua-duanya sekali.

Bagi meningkatkan keberkesanan operasi, orang ramai diminta menjadi ‘mata dan telinga’ JKDM untuk melaporkan kegiatan itu walaupun hanya membabitkan sebungkus rokok seludup.

Maklumat boleh disalurkan menerusi talian 1-800-88-8855 atau melaporkan kepada mana-mana pejabat JKDM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 9:15 AM