MALAYSIA merangka beberapa langkah bagi meningkatkan akses pendidikan vokasional untuk memberi peluang kepada lebih ramai anak muda negara ini menceburi bidang TVET.
Oleh Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Putrajaya: Deklarasi Kuala Lumpur yang dipersetujui 27 negara Asia Pasifik akan menjadi hala tuju kepada negara serantau merangka dasar dalam membangunkan Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di rantau ini dan peringkat antarabangsa.

Deklarasi yang diterima sebagai dokumen pertama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengenai bidang TVET itu diiktiraf ketika berlangsungnya Persidangan Asia Pasifik Mengenai Pendidikan dan Latihan (ACET) 2015 di ibu negara pada 3 hingga 5 Ogos lalu.

Mengulas kejayaan itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Operasi Pendidikan Datuk Ahmad Tajudin Jab menyifatkan deklarasi yang terhasil daripada penganjuran ACET 2015 itu mengiktiraf Malaysia sebagai salah sebuah negara peneraju TVET di rantau Asia Pasifik.

Beliau berkata, Deklarasi Kuala Lumpur yang menggariskan lapan agenda utama itu akan menjadi satu hala tuju topik perbincangan dalam mana-mana persidangan serantau dan antarabangsa termasuk ACET kali kedua kelak.

“ACET 2015 berjaya menempatkan kita sebagai salah satu hab kepada pendidikan TVET di Asia Pasifik, malah ia lebih bermakna apabila Deklarasi Kuala Lumpur diterima untuk menjadi rujukan kepada semua negara serantau dan antarabangsa dalam menetapkan hala tuju TVET.

“Sepanjang persidangan itu berlangsung, ada perjumpaan antara menteri pendidikan negara lain di mana mereka memohon kerjasama Malaysia membantu pelaksanaan TVET di negara mereka.

“Contohnya, Afghanistan, memohon bantuan Malaysia ke sana untuk melihat dan membangunkan TVET di negara mereka begitu juga dengan kepulauan Fiji,” katanya.

Ahmad Tajudin juga memberi satu contoh agenda keempat daripada lapan agenda deklarasi berkenaan iaitu mengintegrasi kemahiran hijau (greening skills) untuk kelestarian pembangunan dalam program TVET adalah sesuatu perkara baru yang perlu dimanfaatkan sebaiknya.

“Agenda ini mengajak kita bagaimana boleh melestarikan pembangunan yang boleh mengurangkan pembaziran dan menjimatkan kos dengan mengaplikasikan pembelajaran TVET dalam kehidupan seharian.

“Contohnya dengan penggunaan tenaga solar boleh menggantikan tenaga elektrik dan kita boleh kitar semula gas tercemar yang dilepaskan oleh kereta dan industri untuk menghasilkan satu produk daripada tenaga lain.

“Selain itu, jaringan TVET yang terdapat di seluruh dunia perlu digembleng untuk kemajuan negara serantau,” katanya.

Menurutnya, seiring dengan matlamat memperkasakan TVET, Malaysia sedang merangka beberapa langkah bagi meningkatkan akses pendidikan vokasional untuk memberi peluang kepada lebih ramai anak muda negara ini menceburi bidang TVET.

Katanya, fakta peratusan anak muda seluruh negara gagal mendapatkan pekerjaan dikenal pasti tidak mempunyai kemahiran menjadi topik hangat yang menjadi perhatian dan dibincangkan dalam ACET 2015 yang lalu.

“Perkara ini sudah menjadi perhatian kita, sebab itu kita menyediakan pelajar di bangku sekolah dengan pembelajaran TVET supaya apabila tamat sekolah, mereka ada kelayakan yang diiktiraf dan boleh memasuki industri lebih awal walaupun pada usia masih muda.

“Kita sedang perluaskan pendidikan ini menerusi program pendidikan vokasional menengah atas (PVMA) kepada sekolah harian bermula Jun lalu bagi membolehkan pelajar tingkatan empat dan lima berpeluang mendapatkan kelayakan vokasional seperti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan lain-lain sijil yang diperlukan industri.

“Pendidik di sekolah harian juga sedang dilatih untuk memperoleh SKM sekurang-kurangnya tahap tiga supaya mempunyai pentauliahan mengajar pelajar dalam bidang TVET,” katanya.

Tambah beliau, kementerian juga merangka memperluaskan program perantis seperti dilaksanakan di kolej vokasional iaitu 70 peratus di industri dan 30 peratus di kelas kepada pelajar sekolah harian pula sebagai langkah menambah akses pembelajaran TVET.

“Program ini hanya ada di kolej vokasional, jadi kita merangka memperluaskannya kepada sekolah harian nanti.

“Sekolah harian juga bakal didaftarkan sebagai pusat tauliah di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk melayakkannya mentauliahkan SKM kepada pelajar selepas tamat belajar,” katanya.

Katanya, Malaysia berhasrat meningkatkan lagi peratusan pembabitan pelajar menceburi bidang TVET yang kini tidak sampai 10 peratus berbanding negara lain yang sudah mencecah 50 peratus.

“Harapan kita lebih ramai pelajar terutama di bangku sekolah memilih bidang TVET sebagai satu laluan pendidikan mereka dan tidak terhad kepada bidang akademik semata-mata,” katanya.

Lapan agenda utama yang terkandung dalam Deklarasi Kuala Lumpur ialah mempertingkatkan kualiti TVET serta kesesuaiannya kepada perubahan keperluan dunia pekerjaan; memastikan TVET yang inklusif dan sama rata; mengembangkan peluang pendidikan sepanjang hayat melalui TVET dan mengintegrasi kemahiran hijau (greening skills) untuk kelestarian pembangunan dalam program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional.

Selain agenda lain ialah mengadaptasi sistem kelayakan untuk memudah cara pembelajaran dan laluan kerjaya; mengukuhkan pentadbiran dan meningkatkan pelaburan dalam TVET; Menggunakan potensi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sepenuhnya untuk TVET dan mengeratkan integrasi serantau dan mobiliti tenaga kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 9:08 AM