Shah Alam: Sindiket dadah dikesan menggunakan taktik menyapu serbuk kopi pada ketulan dan bungkusan ganja bagi mengelak ia dikesan pihak berkuasa.

Sindiket didalangi warga asing itu dikatakan menggunakan kaedah itu bertujuan menghilangkan bau ganja kerana dadah jenis itu mengeluarkan bau kuat.

Bagaimanapun modus operandi itu terbongkar apabila Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menahan seorang lelaki warga Nigeria dan merampas dadah jenis ganja dan syabu bernilai RM120,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor Asisten Komisioner Md Tahir Kasim berkata, serbuan dilakukan di pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya di sini, pada jam 7.30 petang, 13 Ogos lalu.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota JSJN Petaling Jaya menahan seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun di kawasan itu.

“Suspek mulanya cuba melarikan diri membuang bungkusan berisi ketulan mampat ganja seberat 120 gram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 7:19 AM