Tuanku Hajah Haminah melihat secara dekat pokok ‘Hujan-Hujan Kuning Permaisuri’ sempena lawatan diraja ke KLOBS 2015, semalam.

Kuala Lumpur: Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah semalam berkenan melancarkan pokok Hujan-Hujan Permaisuri sempena Festival Orkid dan Bonsai Kuala Lumpur 2015 (KLOBS 2015) di Taman Botani Perdana, di sini.

Pokok yang juga dikenali sebagai Hujan-Hujan Kuning itu hasil pengklonan pokok induk asal dan dinamakan sempena gelaran Seri Paduka.

Tuanku Hajah Haminah turut berkenan menanam dan menyiram benih pokok itu sebagai simbolik acara pelancaran.

Pokok yang daunnya berwarna kuning keemasan itu hasil kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan dijadikan tanaman landskap perintis di sekitar bandar raya.

Tuanku Hajah Haminah meluangkan masa sejam melawat kawasan pameran bonsai serta Taman Orkid diiringi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz dan tetamu lain.

Pameran itu yang berlangsung sehingga semalam mula dibuka secara percuma kepada orang awam sejak 7 Ogos lalu. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 10:16 AM