Oleh Muhammad Saufi Hassan
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas kejayaan tiga ekspedisi merentas 24 negara sejak 2010, pengembara solo tempatan Hadi Hussien, 44, kembali dengan pengembaraan baru untuk menjelajah Malaysia-Australia sebelum merentas beberapa benua.

Misi pengembaraan itu yang diberi nama ‘Anak Johor Merentas Benua’ bermula semalam dan destinasi pertama yang dikunjungi oleh Hadi ialah Johor iaitu tanah tumpah darahnya.

Pengembaraan sejauh 11,000 kilometer itu akan dibahagikan kepada beberapa fasa, namun bagi fasa pertama ekspedisi berkenaan akan dimulakan di Johor ke Australia dan dijangka tamat pada November depan.

Hadi berkata, bagi fasa pertama pengembaraannya, dia yang menunggang motosikal Demak ATM200cc dari Johor ke Australia untuk menjayakan misi keempatnya itu.

Menurutnya, usaha untuk menjelajah beberapa benua dunia juga hasil inspirasi untuk memperkenalkan Malaysia di peringkat antarabangsa biarpun hanya menunggang motosikal.

“Pengembaraan darat yang dilakukan secara solo ini akan melalui beberapa negara termasuk merentasi benua yang menjadi ini sememangnya impian saya.

“Fasa pertama dalam misi ini adalah melawat dan mempromosi Johor termasuk beberapa lokasi tarikan pelancong di negeri itu,” katanya di sini, semalam.

Katanya, fasa kedua pula membabitkan pengembaraan dari Malaysia ke Australia dan masih mengekalkan objektif sama iaitu meneroka negara berkenaan dan mempromosikan Malaysia.

“Menerusi fasa seterusnya, ia akan membabitkan ekspedisi merentasi benua. Antara benua yang akan direntasi ialah Afrika, Eropah dan saya berhasrat terus ke Amerika Syarikat.

“Ekspedisi ini sengaja dipecahkan kepada beberapa fasa supaya saya dapat mencapai objektif ini dan berharap tiada sebarang masalah dihadapi,” katanya.

Mengimbas jelajah pertama pada April 2010, Hadi merentas 27 negara dengan motosikal kapcai miliknya serta hanya membawa sehelai seluar, kain pelekat dan dua kemeja-T.

Kembara empat bulan yang berakhir di London itu melalui Thailand, Nepal, India, Pakistan, Iran, Turki serta beberapa negara Eropah.

Beliau mengulangi kejayaan hampir sama apabila menyeberangi tiga negara dan merentas garisan Khatulistiwa pada Disember tiga tahun lalu. Harian Metro adalah akhbar rasmi kembara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2015 @ 5:06 AM