ALLAHYARHAM Bujang (gambar kecil) meninggal dunia akibat sakit tua di Sungai Kantan.
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

Kajang: Tokoh masyarakat daerah ini, Datuk Bujang Buyong atau lebih dikenali Datuk Ujang Bagong, 83, meninggal dunia pagi semalam di rumah anak bongsunya di Sungai Kantan, dekat sini.

Ketika hayatnya, Allahyarham cukup dikenali sebagai pemurah dan suka menolong orang yang memerlukan selain penyayang kepada kanak-kanak serta disenangi masyarakat.

Menurut anak saudaranya, Aisyah Khalid, 35, arwah meninggal dunia pada jam 10.15 pagi.

“Arwah menghidap sakit tua dan dijaga anak sulungnya sejak tiga bulan lalu. Jenazahnya selamat dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Sungai Kantan tadi (semalam).

“Masyarakat setempat beritahu keluarga kami tidak perlu buat kenduri arwah sebab mereka akan buat kenduri tahlil untuk arwah di Masjid Jamek Pekan Kajang, Masjid Sungai Serai dan Surau Sungai Kantan,” katanya.

Allahyarham yang juga anak jati Kampung Paya, Kajang meninggalkan empat anak dan 10 cucu serta menghembuskan nafas terakhir di depan anak-anaknya.

Sebelum menceburi perniagaan beliau pernah berkhidmat sebagai pemandu kepada Pegawai Daerah Hulu Langat dan antara jasanya yang disebut-sebut termasuk mempertahankan tanah tapak satu-satunya masjid di Kajang seluas kira-kira dua hektar yang cuba diambil alih oleh pihak lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:23 AM