Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my

Ipoh: “Saya minta maaf kerana memuat naik gambar dan status di Facebook (FB) tanpa mengetahui kesannya. Saya melakukannya dalam keadaan marah kerana berasa sedih dengan nasib peniaga kacang putih itu.

“Bukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang membuang semua barangan peniaga itu, sebaliknya wanita itu sendiri melakukannya kerana kemungkinan marah dengan tindakan MBI melarangnya berniaga di situ,” kata pelajar yang menggunakan nama Nuruddin Abdul Mujid, 22, di dalam FB miliknya.

Status dan gambar dimuat naik pelajar sebuah kolej di sini itu mengenai tindakan MBI melarang seorang wanita berniaga kacang putih di kawasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sehingga menyebabkan semua barang perniagaannya jatuh di atas jalan menjadi viral di laman sosial sejak Jumaat lalu.

Selain memuat naik gambar peniaga itu yang duduk dalam keadaan menangis, pelajar itu turut memuat naik status ‘Inilah dunia kalau mencuri dan menipu wang dianggap satu pekerjaan, tapi kalau berniaga dianggap satu kesalahan yang maha besar’ termasuk menggunakan kata-kata kesat kepada MBI.

Menurut Nuruddin, dia tidak menyangka status yang dimuat naik itu akan menjadi viral sehingga menimbulkan pelbagai persepsi negatif kepada MBI yang sebenarnya menjalankan tugas pada waktu itu.

Katanya, komen negatif dan muat naik semula gambarnya oleh individu di laman sosial menyebabkan timbul pelbagai persepsi terhadap MBI kononnya MBI yang membuang barangan peniaga berkenaan.

“Sekali lagi saya minta maaf kepada MBI dengan tindakan saya dan apa yang dilakukan sekadar suka-suka tanpa memikirkan kesan buruk yang berlaku,” katanya yang ditemui di Kompleks Rawatan Harian HRPB, di sini, semalam.

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man turut menjelaskan ketiga-tiga pegawai penguat kuasa terbabit memberikan penjelasan kepadanya pagi semalam berhubung keadaan sebenar yang berlaku selepas gambar insiden itu tersebar di FB.

“Setakat ini, laporan awal diterima MBI juga mendapati ketiga-tiga pegawai penguat kuasa tidak melakukan sebagaimana didakwa pengguna Facebook, malah ia dilakukan penjaja itu sendiri dan penguat kuasa hanya berdiri melihat keadaan itu.

“Bagaimanapun, oleh kerana gambar yang dimuat naik dalam laman berkenaan menunjukkan seolah-olah ia kesalahan pegawai penguat kuasa,” katanya yang ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Lembaga Air Perak (LAP) di sini, semalam.

Katanya, beliau juga mengarahkan wakil MBI untuk mengadakan mesyuarat bersama wakil HRPB semalam bagi menyelesaikan isu itu secara total.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Lembaga Pelawat (HRPB) Datuk Omar Ahmad berkata, pemilik akaun berkenaan tampil menerangkan keadaan sebenar dan pihaknya mengambil tindakan terhadap peniaga tanpa lesen yang ingkar terhadap undang-undang kerana ia menjejaskan perniagaan peniaga yang membayar sewa kepada HRPB.

“Kantin di HRPB membayar sewa RM14,000 sebaliknya peniaga tanpa lesen ini berniaga secara percuma dan menghalang lalu lintas.

“Pihak kami menyokong penguat kuasa melakukan tugasnya untuk mengambil tindakan kepada peniaga yang degil,” katanya selepas mengadakan perbincangan dengan Setiausaha MBI, Mohd Zakuan Zakaria.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 10:55 AM