Alor Setar: Kerajaan negeri meminta semua peminat sukan paragliding supaya tidak menjadikan lokasi Gunung Jerai sebagai lokasi menerbangkan glider buat sementara waktu hingga kajian mengenai keselamatan di kawasan itu dijalankan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Aminuddin Omar berkata, arahan itu juga berikutan keadaan cuaca tidak menentu yang boleh menyukarkan paraglider melakukan penerbangan, sekali gus mengundang bahaya kepada keselamatan mereka.

Katanya, pada masa sama, pihaknya bercadang mengkaji semula peraturan keselamatan sedia ada di tempat itu, sekali gus akan mewujudkan peraturan baru yang bersesuaian sekiranya masih belum ada.

“Kita harus mengkaji perkara ini lebih terperinci dulu kerana tidak pasti daripada pihak mana paraglider sepatutnya mendapatkan kelulusan untuk menerbangkan glider mereka dari puncak Gunung Jerai.

“Selepas kejadian semalam (kelmarin), kita mendapati sukan ini mempunyai banyak risikonya kerana mampu mengundang kematian dan kita akan kaji semula faktor keselamatan yang perlu ada di kawasan ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Aminuddin berkata, beliau akan membangkitkan mengenai perkara itu dalam Mesyuarat Exco hari ini untuk membincangkan tindakan lanjut yang perlu dilakukan bagi mengatasi perkara itu supaya tidak berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 10:54 AM