Mesin ATM yang gagal dilarikan sekumpulan perompak pagi semalam.
Oleh Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Dua perompak cuba melarikan mesin Pengeluaran Wang Automatik (ATM) dengan mengikat kabel pada mesin itu sebelum menyeretnya menggunakan pacuan empat roda.

Dalam kejadian jam 6.06 pagi, suspek bagaimanapun kempunan apabila tindakan itu menyebabkan alat penggera keselamatan bank di Jalan PJS 8/17, Dataran Mentari di sini, berbunyi serta-merta.

Difahamkan, alat penggera berbunyi sebaik mesin itu rebah dan memecahkan pintu kaca premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, hasil siasatan polis terhadap rakaman CCTV di lokasi kejadian, ia merakam imej dua suspek lelaki yang menaiki pacuan empat roda.

“Suspek yang dilihat memakai topi keledar dan penutup muka itu dikesan membawa sebilah parang panjang ketika kejadian.

“Sebaik penggera keselamatan berbunyi, kedua-dua suspek dilihat panik sebelum bergegas melarikan diri,” katanya.

Polis percaya suspek cuba memunggah mesin ATM itu ke bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda dinaiki.

Menurutnya, walaupun sistem penggera berbunyi, namun kejadian itu gagal dikesan pihak bank berikutan terdapat masalah teknikal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 10:43 AM