Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah mengarahkan peguamnya mendapatkan pandangan kedua daripada pakar perundangan sama ada dalam atau luar negara sebelum mengambil tindakan undang-undang terhadap Wall Street Journal (WSJ).

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun ketika ditemui berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan Najib kelmarin dan mendapat arahan untuk mendapatkan pandangan itu secepat mungkin.

“Arahan itu berikutan kenyataan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menafikan kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Ia juga berikutan perkembangan terbaru surat bertarikh 23 Julai lalu daripada WSJ yang tidak menyatakan secara jelas pendirian mereka berhubung penyiaran artikel itu,” katanya.

Mohd Hafarizam berkata, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengenal pasti pakar perundangan dan mengadakan perbincangan.

“Mereka juga memerlukan masa untuk melakukan penyelidikan sebelum boleh memberikan nasihat perundangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 10:19 AM