ROHIZAN (kiri) dan Zulkarnain memeriksa peralatan parabola yang dirampas di perkampungan nelayan di Kuala Kurau, Perak.
Oleh Fakhrurrazi Usuldin
am@hmetro.com.my

Cyberjaya: Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mendedahkan terdapat pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan iklan judi atas talian melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk menjerat mangsa.

Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan SKMM Zulkarnain Mohd Yasin berkata, pihaknya mendapat aduan daripada orang ramai sejak Julai lalu mendakwa SMS iklan judi atas talian itu dihantar ke telefon bimbit mereka oleh nombor tidak dikenali.

“Penyebaran SMS dikenali Scam Judi berlaku kerana mungkin ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan peralatan tidak standard dikenali ‘off the air’ yang dipercayai boleh menceroboh rangkaian penyedia telekomunikasi untuk mempromosikan judi atas talian,” katanya di ibu pejabat SKMM di sini, semalam.

Zulkarnain berkata, pihaknya mengesyaki mungkin terdapat pembabitan warga tempatan dalam penyebaran SMS itu.

“SKMM mengingatkan syarikat yang menggunakan peralatan tidak sah ini supaya tidak membeli peralatan atau melanggan SMS berkenaan,” katanya.

Katanya, aduan terhadap kegiatan itu disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) kerana menyebarkan iklan judi dan menggunakan peralatan tidak sah.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Terdahulu, Zulkarnain memeriksa peralatan set parabola yang tiba di ibu pejabat berkenaan untuk dianalisis selepas dirampas dalam satu operasi bersepadu oleh SKMM dan Pasukan Polis Marin Wilayah 1 ke atas 11 rumah di perkampungan nelayan di Kuala Kurau, Perak, baru-baru ini.

Menurutnya, SKMM akan terus berkerjasama dengan agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras penggunaan peralatan telekomunikasi tidak standard seperti parabola kerana ia didapati mengganggu perkhidmatan komunikasi seperti jalur lebar di negara ini.

Katanya, memiliki dan menggunakan set parabola di negara ini menjadi kesalahan mengikut Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 9:59 AM