KEDUA-dua mangsa maut di lokasi kejadian.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@mediaprima.com.my

Gombak: Dua sahabat karib maut terpelanting di atas jalan raya sejurus motosikal ditunggang merempuh bahagian belakang treler membawa muatan kayu balak.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi semalam, mangsa, Hendi Sufyan, 31, dan Mohd Garip Nihar, 51, maut serta merta di lokasi kejadian berhampiran Kilometer 15, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dari arah Selayang menghala ke Rawang di sini.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berkata, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari kediaman mereka menuju ke tapak pembinaan di Taman Emerald, Rawang di sini.

Menurutnya, dua mangsa yang menunggang serta membonceng motosikal model Yamaha 135 LC dikatakan melalui jalan berbukit sebelum merempuh bahagian belakang treler membawa kayu balak itu.

“Mangsa tercampak ke tengah jalan sebelum maut serta merta di lokasi kejadian akibat cedera parah.

Bagaimanapun pemandu treler itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan keterangannya sudah diambil bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 8:05 AM