NOOR Azlina menunjukkan bengkak di paha Damia Irdina.

Ipoh: “Mama….Kat dalam tv (televisyen), orang sakit kanser semuanya akan mati kan? Itu pertanyaan yang sering diajukan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun kepada ibunya selepas mengetahui dirinya disahkan menghidap barah tulang (Ostesarcoma) sejak dua bulan lalu.

Noor Azlina Abdullah, 32, berkata, anaknya Damia Erdina Shahril Haizat sering mengadu sakit dan lenguh di bahagian paha sejak Mei lalu.

“Pada mulanya, kami beranggapan dia hanya sakit biasa, namun pahanya semakin hari semakin besar dan membengkak dan selepas melakukan ujian X-ray di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), doktor memaklumkan terdapat ketumbuhan pada paha Damia lalu menyarankan dibawa bertemu pakar tulang di hospital sama.

“Doktor pakar kemudian menasihatkan kami merujuk Damia ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur sebelum dia disahkan menghidap barah tulang tahap pertama,” katanya.

Menurutnya, doktor turut memaklumkan jika pembedahan implan tidak dilakukan dalam tempoh dua bulan, sel barah itu akan menyerang paru-paru anaknya.

“Di sekolah, dia sering mendapat keputusan cemerlang serta aktif menyertai aktiviti sukan, namun prestasinya merosot selepas menghidap penyakit itu,” katanya.

Katanya, mereka sekeluarga memerlukan sekurang-kurangnya RM160,000 bagi membiayai rawatan termasuk kos ubat-ubatan, kos perjalanan berulang-alik dari Ipoh ke PPUM selama dua tahun.

“Pendapatan suami (Shahril Haizat Mohammad, 34) yang bekerja sendiri sebanyak RM1,500 sebulan tidak cukup untuk menampung kos rawatan Damia setiap bulan selain terpaksa membayar duit sewa dan keperluan tiga lagi anak berusia satu hingga enam tahun termasuk dua anak yang menghidap asma,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menghubungi Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak di talian 05-5465842.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 8:37 AM