Operasi kpdnkk di Low Yat.
Oleh Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Kami akan ‘lawat’ lebih banyak lagi pusat beli-belah yang dikesan menjual telefon pintar dan aksesori komunikasi palsu,” kata pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Muez Abdul Aziz.

Menurutnya, operasi membanteras produk tiruan akan diteruskan bagi memastikan pengguna tidak ditipu dan mengelakkan negara ini menjadi pusat longgokan alat komunikasi tiruan.

Dia mengulas tindakan KPDNKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumput menyerbu pusat beli-belah Low Yat di Bukit Bintang di sini, yang kerap dikaitkan dengan penjualan produk komunikasi tiruan kelmarin.

Serbuan mengejut dilakukan jam 2.30 petang semalam oleh 110 anggota penguat kuasa KPDNKK dengan bantuan anggota polis dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Dalam operasi disertai Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad itu, sebanyak 120 premis diperiksa susulan risikan KPDNKK dan juga aduan diterima daripada orang ramai.

Menurutnya, pihak KPDNKK mendapat aduan ada mangsa ditipu apabila ditawarkan pembelian telefon pintar dan aksesori komunikasi palsu buatan China.

“Hasil pemeriksaan itu, KPDNKK merampas 11,174 unit telefon dan aksesori telefon bimbit jenama terkenal.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM160,000. Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Menurutnya, peniaga didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman denda sehingga RM10,000 bagi setiap unit barang atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu.

“Sekiranya ia membabitkan syarikat, boleh dikenakan denda sehingga RM15,000 bagi setiap unit barangan yang dirampas,” katanya.

Alias berkata, KPDNKK akan sentiasa melakukan operasi di masa akan datang bagi membendung penjualan barangan tiruan kepada orang ramai.

“Operasi sama akan dilakukan dari semasa ke semasa dan akan diteruskan sehingga ke hujung tahun.

“Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1800-886-800 atau tampil sendiri ke pejabat KPDNKK seluruh negara untuk membuat aduan berkaitan pengguna,” katanya.

Pusat beli-belah Low Yat sebelum ini pernah dikaitkan dengan kejadian pergaduhan apabila tersebar maklumat peniaga di pusat beli-belah itu menipu dan menjual telefon pintar palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:19 AM