Melaka: Selepas lapan jam bertarung nyawa seorang penunggang motosikal yang terbabit kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Balai Panjang berhadapan sebuah stesen minyak disahkan meninggal dunia pagi, semalam.

Dalam kejadian jam 12 malam semalam, mangsa Shahril Karim, 26, dari arah arah lampu isyarat Lorong Pandan menghala ke Malim sebelum terbabit kemalangan dengan Proton Putra.

Orang awam yang menyaksikan kejadian mengejar kenderaan itu sebelum dipintas di Jalan Benteng, Pokok Mangga, kira-kira 10 kilometer (km) dari lokasi kemalangan.

Berang dengan tindakan pemandu kereta terbabit yang memecut selepas melanggar mangsa, kumpulan orang awam melepaskan kemarahan dengan memecahkan cermin tingkap hadapan dan belakang kenderaan.

Badan kenderaan itu turut dirosakkan hingga kemek manakala empat tayar dan rim dicabut.

Jurucakap polis berkata, akibat kemalangan itu, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri patah tangan kiri dan kaki kanan, namun disahkan meninggal dunia jam 8.40 pagi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Mayat mangsa dituntut ahli keluarga sebaik bedah siasat dan kami meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 10:04 AM