AWIE ditemani peguamnya hadir di Mahkamah Tinggi Syariah, semalam.
Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi rock, Awie memohon Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam memberi tempoh sebulan untuk mengemukakan penyataan pembelaan dan tuntutan balas terhadap permohonan isterinya, Rozana Misbun berhubung hak penjagaan (hadanah) kekal tiga anak mereka.

Peguam syarie Mohd Syafiq Norizan yang mewakili penyanyi itu memaklumkan demikian ketika sebutan kes di hadapan Hakim Syarie Ibrahim Deris.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan 3 September depan untuk sebutan semula kes berkenaan bagi pihak Awie (defendan) memasukkan kenyataan pembelaan dan tuntutan balas.

Terdahulu, Mohd Syafiq memberitahu mahkamah, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, menerima notis saman dan penyataan tuntutan daripada Rozana selaku plaintif pada 14 Julai lalu.

Pada prosiding semalam, Rozana, 37, tidak hadir dan diwakili peguam syarie, Jamal Mohd Lokman Sulaiman.

Rozana memfailkan permohonan hadanah terhadap tiga anaknya, Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5, pada 4 Februari lalu mengikut Seksyen 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan hak penjagaan tiga kanak-kanak itu diserahkan kepada Rozana sehingga perintah kekal hak jagaan anak dikeluarkan kelak.

Pasangan itu bernikah di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 8:29 AM