Seorang ahli perniagaan berusia 44 tahun parah selepas ditembak di rusuk kanan oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal dalam kejadian jam 12.03 tengah malam semalam, di depan sebuah restoran di Jalan Trus di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan menuju ke keretanya sebelum dua suspek melepaskan tiga das tembakan dengan satu daripadanya mengenai mangsa.

“Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru oleh orang awam. Berdasarkan keterangan saksi, suspek memakai topi keledar berpenutup penuh dan berjaket hitam.

“Mangsa berada di tempat kejadian kerana mahu melawat kedai menjual cakera padat (CD) miliknya,” katanya ketika dihubungi.

Sulaiman berkata, suspek dipercayai menggunakan senjata semi automatik dan suspek melepaskan tembakan tanpa memberhentikan motosikal.

Menurut Sulaiman, mangsa kini stabil dan pihaknya meminta saksi kejadian supaya tampil bagi membantu siasatan.

“Kami masih menyiasat motif kejadian termasuk dendam serta persaingan dalam perniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 7:36 AM