SUAMI kepada Ketua Pramugari MH17 (Lee Hui Pin), Wong Kin Wah (kanan) 43, bersama anaknya, Wong Hon Kai (tengah) 11, dan Wong Ruiqi (kiri) 14, hadir ke majlis rumah terbuka.
Oleh Icka S Hassan
hmetroshahalam@hmetro.com.my

Shah Alam: “Jejak saja kaki ke tapak peringatan, beribu-ribu kenangan bersama arwah berlegar ke fikiran,” kata Mariam Yusof, 47, isteri kepada juruterbang MH17, Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin.

Katanya, biarpun peristiwa pahit itu sudah setahun berlalu namun mereka sekeluarga masih diselubungi kesedihan akibat kehilangan ketua keluarga dalam sekelip mata.

Bercerita mengenai majlis peringatan tragedi MH17 yang dihadirinya di Amsterdam, Belanda pada 1 Syawal lalu, Mariam berkata, ia sememangnya penuh emosi apabila hampir semua ahli keluarga mangsa tragedi menitiskan air mata kerana tidak dapat mengawal kesedihan di atas kehilangan orang tersayang.

“Bagi kami sekeluarga walaupun pahit untuk diterima, sebagai umat Islam kami reda.

“Namun apa yang membuatkan saya sebak apabila mengenangkan ia Aidilfitri kedua kami sekeluarga tanpa dia,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) bersama anak yatim Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari, di sini, semalam.

Menurutnya, mereka sekeluarga tidak membuat sebarang persiapan untuk sambutan Aidilfitri bagi menghormati setahun pemergian suaminya.

“Kami masih terkenangkan arwah walaupun sudah setahun berlalu. Malah ingatan terhadapnya makin kuat pada bulan puasa ini terutama apabila teringat aktiviti setiap kali Ramadan.

“Jadi, lebih baik kami tidak buat sebarang persiapan memandangkan raya ini genap setahun peristiwa itu,” katanya.

Berbeza dengan Norazlinda Ayob, 39, iaitu isteri kepada Junaidi Mohd Kassim, seorang daripada anak kapal pesawat MH370 yang nekad tidak menoleh ke belakang dan meneruskan hidup seperti biasa.

Menurutnya, dia lebih tenang dengan mendiamkan diri dan menyerahkan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk menjalankan tugas penyiasatan.

“Saya sudah lama memulakan langkah baru dan apa yang berlaku adalah ketentuan yang ditetapkan, namun tidak pernah sesaat pun saya melupakan suami.

“Saya sentiasa mengingatkan anak yang merinduinya untuk sedekahkan al-Fatihah dan reda apa yang menanti di depan,” katanya.

Menurutnya, anak menjadi sumber kekuatan untuk meneruskan hidup walaupun sehingga kini nasib suaminya masih belum diketahui.

“Saya sedar, anak masih kecil dan kurang mengerti mengenai apa yang terjadi namun saya sendiri tidak pernah menyembunyikan perkara sebenar daripada mereka kerana saya pasti lambat-laun mereka akan faham,” katanya.

Norazlinda berkata, sambutan Aidilfitri juga dilakukan secara sederhana kerana mereka sekeluarga masih mengenangkan kehilangan suaminya.

Turut hadir di majlis berkenaan, Wong Kim Ah, suami kepada pramugari pesawat MH17, Lee Hui Pin serta Jacquita Gonzales, isteri kepada Penyelia Penerbangan MH370, Patrick Gomez.

Sementara itu, Presiden NUFAM Ismail Nasaruddin berkata, majlis berkenaan diadakan untuk mengumpulkan waris mangsa dan memberikan sumbangan sempena hari raya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 5:05 AM