Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) semalam meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) agar tidak memberi pertimbangan terhadap permohonan Prasarana Malaysia Bhd untuk menaikkan tambang perkhidmatan LRT dan Monorel.

“Jika tambang dinaikkan, ia akan menambah beban golongan bekerja, yang kini sudah pun terbeban oleh kenaikan kos sara hidup,” kata Timbalan Setiausaha Agung MTUC, A Balasubramaniam.

Menurut beliau, sekiranya tambang perkhidmatan itu dinaikkan, kempen MTUC untuk menggalakkan pekerja menggunakan tren ke tempat kerja juga akan terjejas.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan pengarah urusan Prasarana Malaysia Bhd, Datuk Azmi Abdul Aziz bahawa syarikat itu akan meminta SPAD menyemak semula tambang trennya berikutan kenaikan kos penyenggaraan dan tarif elektrik. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 5:01 AM