Bukit Jalil: Perkhidmatan LRT akan menggunakan tren rel ringan (LRV) enam gerabak pertama mulai 31 Oktober depan selepas pembukaan empat stesen baru yang siap menerusi projek sambungan jajaran LRT laluan Ampang fasa pertama.

LRV pertama dinamakan sebagai ‘Amy’ itu akan beroperasi di empat stesen baru iaitu Awan Besar, Muhibbah, Alam Sutera dan Kinrara BK5.

Pengarah Urusan Kumpulan PRASARANA Datuk Azmi Abdul Aziz berkata, lapan tren itu akan digunakan untuk perkhidmatan LRT di empat stesen terbaru berkenaan yang mempunyai kapasiti muatan seramai 1,250 bagi setiap tren.

Katanya, semua tren itu sebahagian daripada 50 LRV yang bakal beroperasi secara berperingkat-peringkat untuk menggantikan tren sedia ada di laluan Ampang.

“Bagi empat stesen baru ini, kita akan gunakan lapan tren enam gerabak dan boleh dinaiki orang ramai menerusi pertukaran di Stesen Sri Petaling.

“Pertukaran tren ini hanya sementara sehingga kita selesai melakukan naik taraf sistem isyarat sedia ada yang dijangkakan tahun depan.

“Selain lapan tren ini, sebanyak 12 lagi tren sama akan ditambah pada Mac tahun depan dan selebihnya itu akan menggantikan tren sedia ada,” katanya pada sidang media selepas mengadakan taklimat media Projek Penyambungan Jajaran LRT Laluan Ampang di Stesen LRT Awan Besar, di sini, semalam.

Menurut Azmi, fasa kedua projek Lanjutan Laluan LRT (LEP) Ampang dijangka beroperasi pada Mac tahun depan membabitkan tujuh stesen lagi iaitu IOI Puchong Jaya, Pusat Bandar Puchong, Taman Perindustrian Puchong (TPP), Bandar Puteri, Puchong Perdana, Puchong Prima dan Putra Heights.

Katanya, projek LEP Kelana Jaya pula dijangka beroperasi pada Jun tahun depan yang membabitkan sebanyak 12 stesen baru.

“Fasa kedua LEP Ampang ketika ini siap 73 peratus manakala sistemnya pula 60 peratus. Projek LEP Kelana Jaya pula 88 peratus siap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 8:32 AM
Skip this ad x