CHIK Omar (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang disorok.

Sepang: Dua lelaki warga India yang juga rakan kongsi perniagaan mengimport pakaian ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selepas didapati cuba menyeludup dadah jenis Methamphetamine ke negara ini.

Kedua-dua suspek berusia 28 tahun itu ditahan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini, pada 13 Julai lalu apabila pemeriksaan bagasi masing-masing menemui sejumlah 10 kilogram (kg) dadah dianggarkan bernilai RM1.9 juta.

Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, pihaknya berjaya mengesan imej meragukan pada bagasi kedua-dua suspek dengan dadah berkenaan ditemui disembunyikan pada ruangan khas yang diliputi pakaian.

Beliau berkata, siasatan mendapati, kedua-dua suspek adalah rakan niaga dan pernah memasuki negara ini lebih 10 kali sebelum ini atas tujuan menjalankan perniagaan mengimport pakaian.

“Pemeriksaan pada bagasi kedua-dua suspek menemui masing-masing sejumlah 5.04 kg dan 5.02 kg dadah jenis Methamphetamine,” katanya pada sidang media, semalam.

Katanya, soal siasat mendapati, suspek mengaku terbabit dalam perniagaan pakaian, namun tidak mempunyai premis jualan di negara ini.

Chik Omar berkata, pihaknya tidak dapat mengaitkan sama ada kedua-dua suspek terbabit dalam aktiviti penyeludupan dadah terutama ketika memasuki negara beberapa kali sebelum ini.

“Suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori,” katanya.

Dalam kes berasingan, Chik Omar berkata, pihaknya turut merampas sejumlah 470 gram dadah jenis Methamphetamine dianggarkan bernilai RM89,300 yang ditemui dalam satu batang ekzos menerusi pemeriksaan dalam sebuah bungkusan yang tiba di Kompleks Kargo, KLIA.

Bungkusan berkenaan tiba di kompleks berkenaan dari Lagos, Nigeria pada 5 Julai lalu, namun ia menimbulkan curiga apabila tidak dituntut oleh pemiliknya.

“Kami menghubungi talian telefon penerima yang dibekalkan pada kotak bungkusan dan memeriksa alamat penerima di Klang, Selangor, namun gagal mencari penerimanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 8:27 AM