KEADAAN kereta Hanafi (gambar kecil) yang terbalik selepas melanggar tebing.

Tanah Merah: Seorang anggota tentera berpangkat sarjan sempat dirawat selama setengah jam sebelum menghembuskan nafas terakhir kerana cedera parah akibat kemalangan di Kilometer 55, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, dekat Kampung Bechah Laut, di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 1.40 petang ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Machang menuju ke Jeli.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, mangsa, Hanafi Mohd Nawi berusia 36 tahun berkhidmat di Kem Desa Pahlawan Bukit Cina, Kok Lanas, Kota Bharu.

Katanya, beliau meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Tanah Merah (HTM), di sini, pada jam 2.10 petang.

“Mangsa terbabit kemalangan apabila kereta dipandu dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar tebing.

“Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa terpelanting ke tengah jalan, dalam keadaan empat tayar di atas.

“Mangsa cedera parah dan dibawa ke HTM untuk rawatan kecemasan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Hanafi disahkan meninggal dunia pada jam 2.10 petang ketika dirawat.

Suzaimi berkata, mayat dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk urusan pengebumian.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 7:47 AM