Shah Alam: Penduduk di sekitar Petaling, Shah Alam dan Klang dinasihatkan supaya bersiap sedia menghadapi gangguan bekalan air bermula 27 hingga 30 Julai ini.

Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) Priscilla Alfred berkata, gangguan berkenaan disebabkan kerja menaiktaraf sistem bekalan air yang akan dilaksanakan mengikut lokasi ditetapkan.

“Gangguan bekalan air berlaku pada 27 Julai bermula jam 9 malam sehingga jam 9 pagi 28 Julai di sekitar Klang. Antara kawasan terbabit adalah seluruh Flat Jalan Sultan Abd Samad, Seluruh kawasan Pelabuhan Klang dan seluruh kawasan Pelabuhan Utara.

“Selain itu gangguan turut membabitkan seluruh kawasan Tanjung Harapan, kawasan Sultan Hishamudin, Kampung Sungai Sireh dan Flat Seri Perantau.

“Gangguan ini berikutan kerja pengalihan paip ekoran kerja menaiktaraf Persimpangan di Bandar Sultan Sulaiman, Pintu 2 North Port Pelabuhan Klang Oleh Tetuan Jabatan Kerja Raya (JKR) Klang,” katanya.

Menurutnya, gangguan juga berlaku pada jam 9 malam, 28 Julai ini hingga jam 6 pagi, 29 Julai ekoran kerja penggantian injap dan kerja berkaitan berhampiran Kolam Air Seapark.

“Antara kawasan yang terbabit adalah seluruh Seksyen 20, Petaling Jaya; Seluruh SS4, Petaling Jaya; Seluruh SS1, Petaling Jaya; Jalan 21/1 hingga Jalan 21/37, SS2, SS3/59 (A hingga E) dan di SS3,” katanya.

Beliau berkata, kerja pemasangan ‘Tee Off’ dan ‘In-Line Valve’ pada empat unit paip sedi ada dan satu unit paip di Jalan Kuala Selangor (FT54), Paya Jaras, Wilayah Petaling menyebabkan gangguan bermula jam 9 malam 29 Julai hingga jam 8 pagi, 30 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 6:34 AM