KETUA Kampung, Noor Daud (kanan) melawat Hairul di kediamannya di Kampung Nakhoda, Selayang.
Oleh Nadzreen Shah Mat Salim
am@hmetro.com.my


Selayang: “Kaki kanan saya melecet selepas terjatuh ketika bermain futsal lima tahun lalu dan itu mungkin punca kaki kini semakin membesar,” kata Hairul Raffique Asraf Azman yang menghidap penyakit kaki gajah atau nama saintifiknya Elephantiasis.

Hairul Raffique, 25, yang bekerja sendiri sebagai pereka grafik tidak menyangka kesan melecet di bahagian kaki kanannya boleh mengakibatkan dia demam selama dua minggu dan kakinya mula membesar.

“Ketika itu, saya baru berusia 20 tahun dan masih belajar di sebuah kolej swasta. Pada mulanya saya hanya menganggap terkena demam denggi.

“Tetapi hari demi hari kaki saya semakin membesar dan mengeluarkan sejenis cecair berbisa,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Nakhoda, Selayang, Selangor.

Lebih menyedihkan, akibat penyakit itu Hairul disisihkan rakan baiknya sendiri.

“Rakan-rakan yang dulunya gelak ketawa bersama kini hilang. Saya sedar mereka mula menjauhkan diri dengan tidak membalas SMS.

“Mungkin kehidupan kami yang serba kekurangan menyebabkan orang memandang kami seperti sampah,” katanya.

Berikutan kakinya yang semakin membesar, Hairul terpaksa mendapatkan rawatan berterusan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Selain penyakit kaki gajah dihidapinya, dia juga berdepan masalah berat badan berlebihan menyebabkan doktor menangguhkan pembedahan kakinya itu.

Menurutnya, dia pernah menjalani pembedahan membuang lemak bagi mengurangkan berat berikutan berat badannya melebihi 240 kilogram (kg).

Sementara itu, ibunya Rohani Hashim berkata, anaknya kini berkeyakinan tinggi dan lebih banyak menumpukan perhatian kepada kerjaya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian ke akaun Bank Islam milik Rohani Hashim yang bernombor 122225020097906.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 6:30 AM