KAKITANGAN Unit Forensik HTF membawa keluar jenazah Muhammad Asshabil Harraz.
Oleh Hafizudin Mohd Safar
am@hmetro.com.my

Arau: “Saya lihat wajah anak bersih dan tersenyum ketika menuntut mayatnya di Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan tidak menyangka kegembiraannya untuk keluar memancing rupa-rupanya petanda dia akan pergi meninggalkan kami.”

Begitu kata Junaidi Md Daud, 41, bapa kepada Muhammad Asshabil Harraz Junaidi, 10, yang ditemui lemas di Sungai Alor Redis, di sini, kelmarin.

Junaidi berkata, anaknya itu sempat memujuk mereka membenarkannya keluar memancing pada hari kejadian bersama lima rakan sebaik pulang ke rumah mereka di Taman Jejawi, di sini, selepas berhari raya di kampung di Kedah.

“Pada mulanya saya dan isteri Noorbaizura Don, 39 keberatan membenarkannya keluar memancing kerana kami merancang makan malam bersama datuk dan neneknya di sebuah restoran di Pauh.

“Bagaimanapun sebaik pulang daripada kerja, saya dapati dia tiada di rumah namun tidak mengesyaki apa-apa kerana kebiasaannya memang dia keluar memancing bersama jiran,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HTF, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 6:39 AM