Kuala Lumpur: Sebanyak 30 lagi kes kemalangan maut dicatatkan hari ke tujuh Ops Selamat 7/2015 sejak dilancarkan 10 Julai lalu menjadikan jumlah keseluruhan 185 kematian, sehingga kelmarin.

Mengikut rekod yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 16 Julai lalu, sebanyak 155 kematian dicatatkan hari ke enam ops berkenaan.

Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman Datuk Mohd Fuad Abd Latiff berkata, kematian membabitkan penunggang motosikal dan pembonceng masih lagi menjadi penyumbang utama peningkatan kadar dengan 111 kematian.

Menurutnya, 39 lagi kematian daripada jumlah kemalangan maut itu adalah membabitkan pengguna kereta.

“Polis juga turut mengeluarkan sebanyak 112,913 saman kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan dan saman paling banyak adalah kesalahan memandu melebihi had laju dengan 56,379 saman.

“Daripada 185 kematian itu, 69 berlaku di jalan Persekutuan, 48 di jalan negeri dan 25 dilaporkan di lebuh raya serta 23 lagi di jalan bandar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, dalam tempoh itu juga, sebanyak 11,277 kemalangan kereta dilaporkan berlaku di seluruh negara.

Sehubungan itu, Mohd Fuad menegaskan polis akan mengambil langkah proaktif bagi memastikan semua pengguna jalan raya mengikuti peraturan yang ditetapkan dan memandu secara berhemah.

Menurutnya, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan pastikan kenderaan mereka juga dalam keadaan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2015 @ 5:21 AM