TENGKU Adnan (kiri) berbual dengan peniaga Johnson Chia di premisnya.

Kuala Lumpur: Kebebasan media sosial perlu dikaji dan diperketatkan berikutan banyak insiden yang berlaku kebelakangan ini ditokok tambah sehingga menyebabkan berlaku kacau-bilau dalam negara.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) wajar meneliti saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya kebebasan media sosial tidak disalah guna dan dipantau terutama selepas insiden kekecohan di Plaza Low Yat, Sabtu lalu.

“Kita perlu mengkaji semula dan melihat kebebasan media sosial. Kebanyakan berita yang disebarkan hanya 20 peratus benar dan 80 peratus lagi adalah pembohongan iaitu mereka yang menggunakan media sosial akan menulis perkara buruk terutama mengenai pemimpin.

“SKMM perlu mengkaji dengan teliti saranan Perdana Menteri supaya kebebasan media sosial ini dikaji semula,” katanya selepas melawat Plaza Low Yat, di sini, semalam.

Dalam kejadian malam Sabtu lalu berlaku rusuhan apabila sekumpulan lelaki menyerbu kedai telefon yang didakwa menjual barangan tiruan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 5:04 AM