Kuala Lumpur: Cuaca pada keseluruhannya diramal baik pada pagi hari raya yang dijangka disambut esok.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, bagaimanapun hujan diramal turun di beberapa tempat di kawasan pantai di Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Sementara pada sebelah petang, ribut petir dijangka berlaku di Pahang, Kelantan dan Terengganu manakala hujan sementara diramal di satu dua tempat di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.

“Hujan juga dijangka berlaku di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Miri dan Limbang,” katanya.

Menurut jurucakap jabatan itu, cuaca di semua bahagian di Sabah dilapor baik pada sebelah pagi, namun dijangka hujan di beberapa bahagian pedalaman, Pantai Barat, Kudat dan Sandakan pada sebelah petang.

Pada waktu malam pula, beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, bahagian pedalaman dan pantai barat di Sabah dijangka mengalami hujan.

Jabatan Meteorologi melaporkan cuaca di negeri dan bahagian lain dijangka baik.

Bagi hari raya kedua, jurucakap jabatan itu memaklumkan cuaca di semua negeri dan bahagian adalah baik pada sebelah pagi kecuali di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor yang dijangka hujan.

Sementara itu ribut petir diramal berlaku pada sebelah petang di beberapa kawasan di Pahang, Kelantan dan Terengganu, manakala Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor dijangka mengalami hujan sementara di beberapa kawasan.
– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 5:03 AM