BAYI perempuan yang ditemui di Taman Alur Pak Bang.

Marang: Tangisan seorang bayi menyelamatkannya daripada terus terbiar apabila dia ditemui seorang pelajar lelaki di atas sebuah kerusi rehat di Taman Alur Pak Bang, di sini, semalam.

Bayi perempuan terbabit ditemui pada jam 1.30 petang oleh pelajar lelaki berusia 16 tahun itu selepas mendengar tangisannya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, ketika kejadian pelajar berkenaan bersama rakannya berusia 15 tahun sedang duduk di sebuah wakaf berhampiran sebelum terdengar bunyi tangisan.

“Pelajar terbabit yang curiga mendengar tangisan itu segera membuat pemeriksaan dan menemui bayi perempuan terbabit di atas sebuah kerusi dengan dibaluti tuala,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohd Adli berkata, pelajar berkenaan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang sementara rakannya pula menunggu bayi terbabit.

Katanya, bayi perempuan itu kini berada di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

“Siasatan sedang dijalankan termasuk mengesan ibu mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

“Polis turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit untuk menghubungi balai polis berhampiran bagi mengesan ibu bayi berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2015 @ 5:16 AM