KEADAAN Perodua Viva yang dipandu mangsa.
Oleh Azma Razana Johari
am@hmetro.com.my

Juru: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 148.2, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Juru di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa, Mohd Redzuan Ab Rahim, 33, yang memandu Perodua Viva maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di muka dan dada manakala pemandu lori dan sebuah lagi kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut saksi yang enggan dikenali kemalangan berlaku di lorong kanan dan semua kenderaan dari arah sama iaitu dari selatan menuju utara.

“Kemalangan berpunca akibat lori dipandu lelaki berusia 42 tahun berhenti secara mengejut menyebabkan wanita yang memandu Toyota Camry yang berada di belakangnya turut berhenti mengejut.

“Pemandu Perodua Viva itu yang dalam keadaan laju gagal mengelak lalu melanggar belakang Toyota Camry itu,” katanya.

Mayat mangsa dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang tiba di tempat kejadian sebelum diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor mengesahkan menerima laporan kemalangan berkenaan.

Beliau berkata, pemandu Perodua Viva yang berasal dari Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil, Kedah gagal mengelak kenderaan di hadapannya yang berhenti mengejut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di muka serta dada dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2015 @ 5:03 AM